KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam direman empat hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM7,000 daripada sebuah syarikat pembekal peralatan teknologi maklumat (ICT) sebagai balasan mengesahkan pembekalan alat ganti dan perkakasan kepada Cawangan Teknologi Maklumat di tempatnya bekerja.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek yang merupakan Wanita berusia lingkungan 40-an itu disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2024.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Terdahulu SPRM Selangor menahan suspek kira-kira 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.
Perintah reman selama empat hari sehingga 10 April 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette
















