KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan isu krisis tenaga global yang tular di media sosial dan platform digital.
Susulan itu, 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Manakala sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan tidak memuat naik kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam,” menurut kenyataan MCMC hari ini. – MalaysiaGazette
















