MUAR – Berzina di tempat duduk penumpang belakang kereta pada tahun lalu hingga lahirkan anak berusia dua bulan.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut diadukan kepada pihaknya sebelum siasatan dilakukan terhadap pasangan berkenaan.
Menurut JAINJ, penguat kuasa pergi ke rumah wanita tersebut di sebuah kampung di sini pada pukul 10 pagi semalam.
“Wanita itu bersama-sama keluarganya menyambut kunjungan penguat kuasa yang datang bertandang dengan memberilan kerjasama yang baik.
“Di ruang tamu, penguat kuasa menemui seorang bayi berusia dua bulan sedang tidur. Wanita itu merupakan ibu kepada bayi tersebut yang lahir di hospital Muar,” jelas kenyataan berkenaan.
Kenyataan tersebut memberitahu, bayi berkenaan memiliki surat beranak yang hanya mempunyai nama ibu tanpa nama bapa, wanita itu berusia 22 tahun, belum berkahwin dan tidak lagi bekerja.
“Sebelum ini dia pernah bekerja tetapi berhenti setelah mengandung. Wanita ini mengaku telah melakukan perbuatan terlarang ini dengan seorang lelaki iaitu jiran sekampung juga.
“Mereka sudah berkenalan lama sebelum sejarah mendung ini berlaku. Pada pukul 11.30 pagi, penguat kuasa telah pergi ke rumah lelaki berkenaan tidak jauh dari situ di kampung yang sama,” jelas JAINJ lagi.
Penguat kuasa menahan lelaki tersebut berumur 24 tahun yang masih bujang dan bekerja sambilan di daerah ini.
Lelaki berkenaan ujar JAINJ, kelihatan terkejut apabila apabila melihat penguat kuasa datang ke rumahnya.
Hasil soal siasat JAINJ, lelaki berkenaan mengaku berzina dengan wanita tersebut sehingga mengandung dan mengaku insaf atas keterlanjuran perbuatannya.
Lelaki berkenaan mendedahkan, melakukan perbuatan terkutuk itu dalam kereta semasa berhenti di tepi jalan di sebuah kawasan di daerah ini, pukul 11.30 malam, pada tahun lalu.
“Dia berjanji akan mengambil wanita itu sebagai isteri dan bertanggungjawab dengan bayi itu. Lelaki ini ada menyatakan hasrat untuk bernikah cuma belum tertunai lagi.
“Tapi masalahnya, sampai sekarang mereka belum ada tarikh nikah lagi sehingga penguat kuasa menerima aduan sebegini,” jelas kenyataan itu lagi.
Penguat kuasa JAINJ juga memanggil ibu bapa pasangan berkenaan dan mereka kelihatan menyesal atas apa yang berlaku.
Pasangan berkenaan ditangkap di bawah Seksyen 23 kerana berzina yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau semuanya jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette
















