Datuk Manoj Kurup sebagai Pengarah Eksekutif, Penguatkuasaan SC

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Manoj Kurup sebagai Pengarah Eksekutif, Penguatkuasaan, berkuat kuasa 8 April 2026.

Beliau menggantikan Budiman Lutfi Mohamed yang telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya pada 1 April 2026.

Manoj memulakan kerjaya perundangannya pada tahun 1990 dan membawa pengalaman lebih tiga dekad merangkumi bidang kehakiman serta pendakwaan awam.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum bersara pada tahun 2024.

Sebelum itu, beliau memegang beberapa jawatan di AGC, termasuk sebagai Ketua Bahagian Rayuan.

Beliau juga merupakan ahli pasukan pendakwaan Malaysia dalam siasatan bersama tragedi Malaysia Airlines MH17 serta pernah menjadi ahli lembaga Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang dalam Pendakwaan dari University of Wollongong, Australia, serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Polytechnic of Wales (kini University of Glamorgan).

Manoj juga merupakan Barrister-at-Law dari Gray’s Inn, London, dan memiliki Diploma dalam Mediasi dari Asian International Arbitration Centre.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kepakaran perundangan dan kepimpinan Manoj bakal memberi manfaat kepada SC.

“Pengalaman luas beliau akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan kami dalam memastikan integriti pasaran dan melindungi pelabur.”

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan ikhlas kepada Budiman atas khidmat bakti dan sumbangan beliau kepada SC sejak Julai 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast