KUALA LUMPUR – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di kawasan tadahan empangan utama di Perlis dan Kedah semalam disahkan berjaya apabila taburan hujan signifikan direkodkan di lokasi sasaran.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu dimulakan pada pukul 3 petang di Kedah sebelum diteruskan di kawasan Empangan Timah Tasoh, Perlis pada pukul 3.40 petang.
“Berdasarkan data cerapan radar cuaca, aktiviti hujan mula dikesan di sekitar Empangan Timah Tasoh seawal jam 5 petang. Manakala di kawasan Empangan Ahning, hujan mula turun pada jam 7.30 malam dan berlarutan sehingga jam 9 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi berkenaan menggunakan teknik semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara dengan bantuan pesawat Lockheed C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
Katanya, analisis meteorologi ketika operasi dijalankan turut menunjukkan kehadiran awan konvektif dan kumulus menara yang sangat aktif di zon sasaran, selain disokong kandungan kelembapan atmosfera yang tinggi serta keadaan atmosfera yang tidak stabil.
Secara keseluruhan, taburan hujan yang direkodkan di Perlis adalah antara 10 milimeter (mm) hingga 45 mm dalam tempoh pukul 7 hingga 8 malam, manakala di Kedah pula antara 6 mm hingga 57.4 mm dari pukul 7 hingga 10 malam.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan itu membuktikan pelaksanaan OPA dalam keadaan atmosfera yang sesuai amat berkesan bagi menangani isu kekurangan air di kawasan tadahan kritikal.
Beliau berkata, operasi tersebut merupakan langkah intervensi untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang terjejas akibat cuaca kering dan kekurangan hujan sejak beberapa minggu lalu.
Usaha itu memberi tumpuan kepada 11 empangan utama dalam kategori waspada, amaran dan kritikal di Perak, Kedah, Perlis serta Johor bermula 6 hingga 8 April ini.
Hari ini, operasi diteruskan dengan menyasarkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah di Perak. -MalaysiaGazette
















