Norliza (dua dari kiri) menyantuni waris kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime di Batu Kurau, Perak. Gambar: Ihsan PTPTN.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menzahirkan keprihatinan apabila menyantuni waris Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terkorban dalam nahas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor, dengan menyalurkan sumbangan RM3,000 kepada tiga anak mangsa menerusi Akaun Simpan SSPN Prime.

Ziarah menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN itu diadakan di Batu Kurau, Perak dan dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim bersama Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Negeri PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed.

PTPTN dalam kenyataannya memaklumkan, sumbangan tersebut diagihkan kepada tiga anak Allahyarham, masing-masing menerima RM1,000 sebagai tanda sokongan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dalam membantu meringankan beban keluarga.

Menurut Norliza, pihaknya berharap sumbangan itu dapat membantu waris meneruskan kehidupan serta memastikan kebajikan pendidikan anak-anak Allahyarham terus terpelihara.

“Walaupun tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan seorang suami dan bapa, kami berharap sumbangan ini dapat menjadi sokongan bermakna agar anak-anak dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tabah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Simpan SSPN merupakan instrumen simpanan pendidikan yang menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000, kadar dividen kompetitif serta jaminan kerajaan dan patuh syariah.

Selain itu, produk Simpan SSPN Plus menyediakan enam pakej simpanan serendah RM30 sebulan hingga RM500 sebulan dengan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, khairat kematian serta perlindungan sehingga umur 69 tahun tertakluk kepada syarat ditetapkan.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus komited memperkasakan program CSR khususnya dalam bidang pendidikan selaras dengan moto “Peluang Kejayaan Anda” serta tagline “PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu”.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN bagi kemudahan pengguna. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast