Sebahagian daripada warga asing yang ditahan dalam satu Operasi Khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor di sebuah kilang plastik di sekitar Ijok, kelmarin. Gambar: Ihsan JIM.

KUALA LUMPUR – Seramai 22 warga asing ditahan dalam satu Operasi Khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor di sebuah kilang plastik di sekitar Ijok, kelmarin selepas premis itu disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik secara berselindung.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pukul 12 tengah hari itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.

Katanya, hasil serbuan, tujuh lelaki warga China dan 15 lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 66 tahun berjaya ditahan.

“Semakan awal mendapati enam warga China dan 10 warga Bangladesh menyalahgunakan pas yang dimiliki, dua warga Bangladesh tinggal lebih masa, manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.

“Ketika operasi dijalankan, penjaga premis didapati enggan memberi kerjasama, manakala beberapa suspek bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan bersembunyi.

“Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal oleh pasukan penguat kuasa. Seorang pegawai operasi turut mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada warga asing yang ditahan dalam satu Operasi Khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor di sebuah kilang plastik di sekitar Ijok, kelmarin. Gambar: Ihsan JIM.

 

Menurut Zakaria lagi, dalam serbuan itu, pihaknya menyita 12 pasport Bangladesh, enam pasport China, kad perakam waktu serta lesen perniagaan premis.

“Kilang yang beroperasi sebagai kilang polimer itu dipercayai menggunakan lesen kitar semula plastik sebagai helah untuk menyembunyikan aktiviti pemprosesan e-waste dengan bahan tersebut dibawa masuk menggunakan lori atau kontena dan dilabel sebagai plastik kitar semula.

“Premis berkenaan juga dipercayai menggajikan pekerja warga Bangladesh tanpa dokumen sah yang tinggal di dalam kawasan kilang, selain dilengkapi sistem pemantauan dan amaran awal bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, seorang warga China turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan turut akan disiasat oleh JTK di bawah Peraturan Kerja 1957.

Katanya lagi, lima lagi warga China dan 10 warga Bangladesh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua warga Bangladesh disiasat di bawah Seksyen 15(4) akta sama dengan selebihnya disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Jelas beliau, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut sementara seorang lelaki tempatan turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang demi memastikan keselamatan dan kemakmuran negara terpelihara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast