Antara sisa komponen elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual yang dikesan dalam 10 kontena menerusi operasi bersepadu Op Green Shield ke-21 di Pelabuhan Klang, semalam. Foto AKPS Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kontena dikesan mengandungi sisa komponen elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual menerusi operasi bersepadu Op Green Shield ke-21 di Pelabuhan Klang, semalam.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata,  11 kontena telah diperiksa dengan sembilan daripadanya mengandungi sisa e-waste kategori SW110 seberat 227,450 kilogram (kg).

“Selain itu, satu kontena mengandungi bahan buangan terjadual kategori SW102 dengan berat sebanyak 24,000 kg, menjadikan jumlah berat keseluruhan kontena yang ditahan adalah 251,450 kg.

“Manakala semakan ke atas satu lagi kontena mengandungi besi buruk (metal scrap) diserahkan kepada pihak SIRIM untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua syarikat tempatan membuat pengistiharan palsu pada borang K1 berkaitan dagangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara sisa komponen elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual yang dikesan dalam 10 kontena menerusi operasi bersepadu Op Green Shield ke-21 di Pelabuhan Klang, semalam. Foto AKPS Pelabuhan Klang

Tambah beliau, berikutan itu tindakan sususlan telah diambil dan kes diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam  Diraja Malaysia (Kastam) untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, seramai  15 anggota terdiri daripada Kastam, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang melakukan operasi itu ke atas beberapa kontena bermula jam 9.30 pagi hingga 1 petang.

Nik Ezanee menambah, AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa e-waste selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu.

“Larangan itu dilaksanakan menerusi pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026] yang diletakkan di bawah Jadual Pertama perintah berkenaan.

“AKPS juga akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast