KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa tiada sebab kerajaan menaikkan harga minyak boleh dipersoalkan kerana faktor sebenar kenaikan harga minyak dunia didapati lebih berkait rapat dengan pengurangan bekalan global serta peningkatan kos operasi, bukannya semata-mata gangguan laluan di Selat Hormuz.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan berkata, menurut pandangan Presiden Pas itu, kapal Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan laluan di Selat Hormuz, sekali gus menjadi asas hujah bahawa kenaikan harga minyak tidak wajar berlaku.
Namun, katanya, hujah Abdul Hadi itu dilihat tidak mengambil kira gambaran lebih luas pasaran minyak dunia.
“Walaupun Selat Hormuz merupakan laluan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak global, persoalan timbul mengapa harga minyak tetap meningkat mendadak sedangkan 80 peratus bekalan dunia melalui laluan lain yang tidak terjejas.
“Pemerhatian menunjukkan kenaikan harga minyak global lebih dipengaruhi oleh faktor asas pasaran, khususnya pengurangan pengeluaran oleh negara pengeluar serta peningkatan kos operasi industri minyak dan gas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, media antarabangsa turut melaporkan penurunan sekitar 30 peratus pengeluaran minyak oleh negara-negara Teluk memberi kesan signifikan terhadap bekalan global, sekali gus mendorong kenaikan harga.
Sehubungan itu, Amidi menjelaskan, kenyataan yang mengaitkan sepenuhnya kenaikan harga minyak dengan kegagalan pengurusan kerajaan disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak berasaskan realiti ekonomi semasa.
“Persoalan turut dibangkitkan sama ada kekeliruan tersebut disengajakan atau berpunca daripada salah tafsir terhadap situasi sebenar.
“Dalam masa sama, peringatan turut diambil daripada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 42 yang menegaskan larangan mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan serta menyembunyikan fakta yang benar,” ujarnya.
Kegagalan memahami isu secara menyeluruh, menurut Amidi, berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan dan menyemarakkan sentimen kemarahan rakyat yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara.
“Situasi ini dikhuatiri memberi kelebihan kepada naratif politik sempit yang boleh mengganggu keharmonian serta kestabilan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















