KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran meneliti semula pelaksanaan moratorium pinjaman bank secara bersasar bagi membantu meringankan beban kewangan rakyat susulan tekanan ekonomi semasa.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Muhammad Fikri Abdul Aziz berkata, ketidaktentuan geopolitik global kini memberi kesan langsung kepada aliran tunai isi rumah.
Tambahnya yang juga Ketua Cabang PKR Putrajaya, keadaan itu sekali gus menjejaskan keupayaan rakyat mengurus perbelanjaan harian.
Menurutnya, langkah moratorium yang dilaksanakan secara bersasar boleh menjadi pendekatan segera untuk memberi ruang kepada rakyat menyusun semula komitmen kewangan mereka.
“Moratorium bukan penghapusan hutang, sebaliknya penangguhan bayaran yang boleh memberi kelegaan sementara kepada isi rumah untuk menyesuaikan keutamaan perbelanjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, lebihan tunai boleh dimanfaatkan untuk keperluan asas, sekali gus membantu meningkatkan semula kuasa beli rakyat.
“Apabila aliran tunai bertambah, perbelanjaan domestik juga akan meningkat dan memberi kesan positif kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.
Bagaimanapun, Fikri menegaskan, pelaksanaan moratorium itu perlu dirangka secara teliti dan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, keutamaan wajar diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan termasuk segmen B40 dan sebahagian M40 yang terkesan.
“Pendekatan pukal perlu dielakkan bagi memastikan keseimbangan antara membantu rakyat dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut tidak menjejaskan keutuhan sistem perbankan negara.
“Saya percaya pendekatan yang pragmatik dan tersusun ini mampu memberi kelegaan kepada rakyat serta merangsang semula aktiviti ekonomi domestik secara lebih mampan,” katanya. – MalaysiaGazette
















