GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan konflik Asia Barat berpotensi memberi kesan langsung kepada rakyat Malaysia apabila ia mendorong kenaikan harga bahan api, makanan, ubat-ubatan serta mengganggu rantaian bekalan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, walaupun berlaku di luar negara, kesan konflik geopolitik itu boleh dirasai dengan cepat dalam negara dan menjadi krisis kos sara hidup.
Katanya, kira-kira 50 peratus bekalan minyak Malaysia melalui Selat Hormuz yang berisiko terjejas, sekali gus boleh melonjakkan harga tenaga global dan menekan ekonomi domestik.
“Beban subsidi bahan api kerajaan juga meningkat mendadak daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada beberapa bilion ringgit apabila harga minyak naik.
“Walaupun Bank Negara Malaysia menyatakan negara masih mempunyai penampan dan inflasi terkawal, keadaan itu tidak kekal jika konflik berpanjangan.
“Peningkatan kos pengangkutan akan menjejaskan harga makanan, logistik dan perbelanjaan harian, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya pada sidang media di sini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak bertindak secara bersatu, berdisiplin dan bertanggungjawab serta menyokong usaha kerajaan menstabilkan harga dan melindungi rakyat.
Dalam masa sama, katanya, krisis itu perlu dimanfaatkan untuk mempercepat pembaharuan termasuk keterjaminan makanan, kepelbagaian sumber tenaga, penambahbaikan pengangkutan awam dan penyasaran subsidi.
Beliau turut menegaskan keperluan pendekatan dwipartisan, dengan Parlimen menjadi platform mencari penyelesaian terhadap isu inflasi, subsidi dan kebajikan rakyat.
“Mengimbas pandemik Covid-19, Malaysia berjaya apabila semua pihak bersatu, namun keadaan menjadi buruk apabila politik mengatasi kepentingan negara.
“CAP akan terus memantau harga, mendedahkan pencatutan dan menyokong perlindungan pengguna.
“Krisis ini bukan sahaja menguji ekonomi tetapi juga perpaduan dan kematangan negara,” katanya. – MalaysiaGazette















