JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seorang lelaki warga Korea yang dipercayai menggunakan Pas Penggajian palsu untuk tinggal di negara ini.
Lelaki berusia 49 tahun itu dipercayai dikehendaki di negara asalnya kerana terlibat kes penipuan membabitkan kerugian kira-kira KRW3.5 bilion (RM9.4 juta).
JIM Johor dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah kediaman di kawasan Horizon Hills pada 8 April lalu.
Ketika serbuan, tambahnya, suspek berada bersama isterinya yang merupakan warga China serta dua anak lelaki, selain seorang wanita warga Filipina yang bekerja sebagai pencuci di kediaman berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala semakan sistem imigresen menunjukkan suspek serta wanita warga Filipina itu telah tinggal lebih masa di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, kedua-dua individu berusia 49 dan 55 tahun itu ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Johor menegaskan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) serta kegiatan pemalsuan dokumen yang menyalahi undang-undang negara. -MalaysiaGazette
















