Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah disaran membawa usul penting di peringkat cawangan bagi memastikan parti itu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, langkah tersebut perlu bagi mengembalikan keyakinan terhadap kekuatan parti tanpa bergantung kepada pihak lain.

“Saya berpandangan tegas bahawa setiap Mesyuarat UMNO Cawangan di seluruh negeri Kedah wajar mengangkat usul supaya UMNO/Barisan Nasional negeri Kedah bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, UMNO perlu kembali membina keyakinan terhadap kekuatan sendiri demi mengembalikan kepercayaan rakyat yang menjadi asas kekuatan parti sejak sekian lama.

“Sudah sampai masanya UMNO kembali berdiri dengan kekuatan sendiri. Kita tidak boleh terus dilihat bergantung atau sekadar melengkapkan pihak lain. Kekuatan parti mesti datang daripada keyakinan terhadap diri sendiri.

“UMNO mempunyai jentera, struktur dan pengalaman. Apa yang kita perlukan sekarang adalah kesatuan dan ketegasan dalam membuat keputusan,” jelasnya.

Tambah beliau, suara akar umbi memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju parti, khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Jika di peringkat cawangan kita jelas dan konsisten, itu akan menjadi asas kepada hala tuju parti di peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Beliau berkata, UMNO mempunyai pilihan serta kekuatan tersendiri dalam menentukan bentuk kerjasama politik yang ingin dijalinkan pada masa depan.

Justeru, tambah beliau, cadangan untuk bergerak solo dilihat sebagai langkah strategik memandangkan parti itu mempunyai pengalaman luas mengharungi pilihan raya secara berdikari.

“Dalam masa yang sama, kita juga perlu faham bahawa UMNO ada pilihan dan kekuatan tersendiri. Sebarang kerjasama mesti dibina atas dasar saling menghormati, bukan kebergantungan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua cawangan UMNO agar membawa usul tersebut secara serius dalam mesyuarat masing-masing demi memastikan parti kembali kuat, jelas dan dihormati.

“Saya menyeru semua cawangan agar membawa usul ini dengan serius. Ini adalah langkah untuk memastikan UMNO kembali kuat, jelas dan dihormati. Ini bukan soal emosi, tetapi soal kejelasan pendirian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast