KEPALA BATAS – “Allah pinjamkan dia enam tahun. Saya tak kuat, tapi saya reda kerana dia bukan milik saya, sebaliknya hak Allah yang diambil semula”.
Demikian luahan ibu kepada Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin, 6, yang ditemukan lemas terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2 di sini, petang tadi.
Ibu mangsa, Safiza Awang Kechik, 40, berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak bongsunya itu selepas menerima panggilan daripada suami ketika sedang bekerja di Juru.
“Memang tak sangka kerana Aryan bukan jenis keluar jauh, sebaliknya hanya bermain di taman. Ini juga kali pertama anak bongsu saya daripada empat beradik itu ke kawasan terusan berkenaan.
“Petang tadi, abahnya keluar mencari dia di taman, namun tidak menyedari basikalnya berada di kawasan terusan sebelum dimaklumkan rakan-rakan taman perumahan bahawa anak kami terjatuh ke dalam terusan.
“Sebaik menerima maklumat itu, kira-kira jam 4 petang, dia (bapa mangsa) terus ke lokasi yang terletak tidak jauh dari rumah dan ketika itu bomba sedang menjalankan operasi mencari sebelum menemui anak kami tidak lama kemudian,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kediamannya di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Safiza berkata, Aryan seorang kanak-kanak petah bercakap, peramah dan sangat manja dengannya selain rapat dengan abang berusia 13 tahun yang sering menghantarnya ke kelas mengaji sejak dua minggu lalu.
“Boleh dikatakan seluruh taman mengenalinya kerana dia peramah dan mudah mesra, malah berkawan dengan semua lapisan umur termasuk orang tua.
“Sejak masuk tadika, dia rajin mengaji termasuk membaca surah al-Fatihah, doa qunut dan berselawat setiap hari walaupun sebutannya belum betul. Kebelakangan ini, dia juga minta saya ajarkan doa tidur setiap malam.
“Kali terakhir saya bersama dia kira-kira pukul 11 malam semalam yang mana ketika itu Aryan minta mi segera, tetapi saya beri nasi sebelum berkali-kali dia ulang kata pedas tapi sedap. Jadi itulah yang terakhir kerana pagi tadi saya keluar bekerja seawal jam 5.20 pagi tak sempat kami bersua muka lagi,” katanya.
Menurutnya, sebagai ibu dia reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sukar untuk menerima kehilangan itu.
“Allah pinjamkan dia enam tahun dan dia bukan milik saya, sebaliknya hak Allah yang diambil semula.
“Hari ini lebih menyedihkan kerana Aryan pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi anggota bomba dan tak sangka bomba yang menyelamatkan dia pada hari terakhirnya,” katanya dalam nada sebak.
Tambah Safiza, proses bedah siasat Aryan akan dijalankan esok di Hospital Kepala Batas dan jenazahnya akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Pinang Tunggal di sini.
ARTIKEL BERKAITAN
Media terdahulu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam terusan sedalam lima meter ketika bermain di gigi air bersama seorang rakannya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 5.29 petang sebelum operasi dijalankan.
“Pasukan bomba terjun ke dalam terusan untuk menyelamatkan mangsa dan memberi rawatan awal (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa ditemui hanyut kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya. – MalaysiaGazette
















