Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR — Cubaan beberapa pemimpin politik membangkitkan naratif mengelirukan berhubung isu harga minyak tempatan disifatkan tidak bertanggungjawab ketika kerajaan sedang berdepan tekanan krisis minyak mentah global.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Dr Akmal Salleh bukan sahaja tidak membantu malah berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, dakwaan bahawa harga minyak di Malaysia tidak menurun seperti di negara lain adalah tidak tepat kerana mekanisme penetapan harga runcit dibuat berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.

Sebarang penurunan harga minyak dunia pada minggu semasa akan diterjemahkan dalam harga runcit minggu berikutnya walaupun terdapat sedikit sela masa atau lag effect dalam pelaksanaannya.

“Sistem Mekanisme Harga Automatik (APM) iaitu formula penetapan harga runcit bahan api, melindungi pengguna akhir dan operator stesen minyak daripada naik turun harga secara mendadak.

“Perkara ini gagal difahami kebanyakan ahli politik terutama daripada parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegur tindakan Dr Akmal yang dilaporkan senada dengan Fadhli mempersoalkan langkah Thailand menurunkan harga petrol dan diesel baru-baru ini.

“Dr Akmal sebagai anggota parti yang berada di dalam kerajaan seharusnya mempertahankan usaha kerajaan menstabilkan ekonomi dan tidak seharusnya membiarkan diri dikelirukan oleh pemimpin Pas yang sengaja menunggang isu minyak ini untuk kepentingan politik,” katanya lagi.

Muhammad Faiz menjelaskan, keputusan Thailand menurunkan harga dibuat selepas kerajaan negara itu mendapati formula terdahulu mungkin lebih tinggi daripada kos sebenar termasuk caj pengangkutan dan insurans dalam pengiraan harga minyak borong.

Beliau menegaskan, fakta tersebut gagal disemak secara tuntas oleh ahli perundangan pembangkang sehingga fungsi semak imbang menjadi tempang kerana isu minyak dimainkan dengan auta dan emosi, tanpa mengambil kira perbezaan harga ketara antara Malaysia dan Thailand. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast