Foto: FB Dr Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenaikan harga minyak di negara ini yang tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai produk minyak sendiri.

Beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu berkata, di perairan negeri itu misalnya, terdapat kira-kira 120 buah pelantar minyak yang sedang beroperasi.

Dr. Azman Ibrahim

Menurutnya, minyak mentah dari pelantar itu akan disalur ke Loji Penapisan Minyak Petronas Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki.

“Di Loji Kerteh ini minyak mentah diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan negara kita.

“Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak?

“Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terus membiarkan diri ditipu oleh pelbagai helah politik dan ekonomi, termasuk isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak berasas.

Abdul Hadi menegaskan, tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di Selat Hormuz.

Menurut Abdul Hadi, pengecualian harga minyak di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa alasan kenaikan harga di Semenanjung adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast