Ketua Biro Politik SekPur, Shahbudin Embon bercakap pada media ketika keluar dari Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima aduan rasmi  berhubung wujud transaksi mencurigakan berjumlah RM500,000 kepada seorang bekas Menteri Ekonomi yang melibatkan projek mesin layan diri.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah menerima aduan serta serahan dokumen berkaitan daripada Sekretariat Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur).

“Serahan itu serta laporan telah dibuat oleh Pengerusi Biro Politik SekPur, Shahbudin Embun yang hadir bersama seorang ahli individu, Mejar Razali Zakaria sekitar 12.30 tengah hari tadi.

“Sehubungan itu, SPRM mengesahkan telah menerima dokumen berkaitan dan akan menelitinya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hisyam Mohd Yusoff.

Jelasnya beliau, tindakan dibuat susulan beberapa laporan media terdahulu yang membangkitkan dakwaan RM500,00 telah dibayar sebagai dana lobi atau politik melalui pihak perantara kepada tokoh politik tertentu.

Terdahulu, SekPur mendesak SPRM menjalankan siasatan dakwaan berhubung wujud transaksi mencurigakan berjumlah RM500,000 kepada seorang bekas Menteri Ekonomi melibatkan projek mesin layan diri.

Pengerusi Biro Politik SekPur, Shahbudin Embun dilaporkan berkata, ia susulan tular maklumat di sebuah portal atas talian dan pihaknya telah membuat laporan polis dua hari lalu serta  menyerahkan dokumen berkaitan kepada SPRM untuk tindakan lanjut. 

“Menerusi hantaran di portal tersebut mendedahkan laporan penyiasatan setebal 20 muka surat dan laporan itu menyenaraikan butiran transaksi, profil individu terlibat serta gambar berkaitan.

“Kami dapati memang ada bukti sahih mengenai transaksi RM500,000, namun kami mahu menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada pihak polis dan SPRM.

“Ini bagi membuktikan sama ada maklumat yang dikongsikan itu  sahih atau tidak kerana sebelum ini bekas menteri terbabit menafikan dakwaan tersebut serta menyifatkan ia sebagai berita palsu,” katanya dalam  sidang media di sini hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM digesa siasat dakwaan transaksi RM500,000 libat bekas menteri – SekPur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast