PUTRAJAYA – Sekretariat Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dakwaan berhubung wujud transaksi mencurigakan berjumlah RM500,000 kepada seorang bekas Menteri Ekonomi melibatkan projek mesin layan diri
Pengerusi Biro Politik SekPur, Shahbudin Embun berkata, ia susulan tular maklumat di sebuah portal atas talian dan pihaknya telah membuat laporan polis dua hari lalu serta menyerahkan dokumen berkaitan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Menerusi hantaran di portal tersebut mendedahkan laporan penyiasatan setebal 20 muka surat dan laporan itu menyenaraikan butiran transaksi, profil individu terlibat serta gambar berkaitan.
“Kami dapati memang ada bukti sahih mengenai transaksi RM500,000 namun kami mahu menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada pihak polis dan SPRM.
“Ini bagi membuktikan sama ada maklumat yang dikongsikan itu sahih atau tidak kerana sebelum ini bekas menteri terbabit menafikan dakwaan tersebut serta menyifatkan ia sebagai berita palsu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tegas Shahbudin, laporan itu bukan bersifat peribadi terhadap mana-mana individu sebaliknya ia bagi memastikan dakwaan yang tular dalam kalangan masyarakat dapat disiasat secara telus oleh pihak berkuasa.
“Motif kami adalah untuk mempertahankan kerajaan semasa dan perkara ini boleh memberi kesan kepada negara sekiranya tiada siasatan yang sewajarnya dijalankan.
“Ini kerana dokumen tersebut masih boleh diakses orang awam dan tidak dipadamkan sekaligus ramai yang bertanya sama ada ia benar atau tidak ,” jelasnya.
Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan menerima rasuah RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi melanjutkan kontrak syarikat itu pada 2023.
Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan berkata, dakwaan yang dibuat sebuah laman portal ‘Malaysia Coporate’ itu hanyalah tuduhan liar yang mana garis masa dinyatakan adalah tidak selari dengan realiti semasa pada ketika itu.
Beliau turut menegaskan tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau mana-mana wakil NexG sepanjang hidupnya selain tidak mengenali individu yang didakwa sebagai ‘watak utama’ dalam penulisan blog berkenaan iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette
















