Jabatan Kebajikan Masyarakat

PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan penglibatan mana-mana pegawainya dalam satu video tular di media sosial yang mendakwa keberadaan pegawai jabatan itu dalam kejadian berkenaan.

JKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa individu yang dirujuk dalam video terbabit bukanlah pegawai jabatan itu, dan JKM tidak terlibat dalam sebarang tindakan seperti yang digambarkan.

Menurut kenyataan itu, setiap pegawai JKM yang menjalankan siasatan tertakluk kepada tatacara kerja semasa, termasuk memperkenalkan diri, menunjukkan kad kuasa atau pengenalan rasmi serta melaksanakan tugas secara profesional dan beretika.

“JKM memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan reputasi jabatan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, JKM meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan digalakkan membuat semakan melalui saluran rasmi sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan kebajikan.

Sebarang aduan atau rujukan boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam, selain menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast