MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam susulan siasatan terkini berhubung kes melibatkan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan mendapati wujud modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam.

Menurut sumber, individu berkenaan dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh (absolute power) dalam keseluruhan proses tersebut.

“Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.

“Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah,” katanya.

Tambah sumber, susulan itu, aliran dana dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih USD48 juta, selain satu transaksi sekitar USD3.3 juta di Labuan yang melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.

Kata sumber, turut disiasat dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO berkenaan, melibatkan kira-kira USD10,000 dan AED37,000 (kira-kira RM80,000).

Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi USD51.3 juta dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).

Sumber menjelaskan, dalam perkembangan berkaitan, tambahan enam akaun individu bernilai kira-kira RM11 juta, menjadikan keseluruhan pembekuan kira-kira RM16.8 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul, ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih berjalan dan memaklumkan SPRM sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, British Virgin Islands (BVI), Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast