SEPANG – Seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun ditahan polis selepas merosakkan kemudahan awam serta mencederakan anggota keselamatan dalam satu kejadian tular di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M Ravi berkata, suspek ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA kira-kira pukul 10.30 pagi di lokasi kejadian, ketika individu berkenaan sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.
Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek terlepas penerbangan dan berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.
“Semasa kejadian, suspek telah bertindak secara agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah, membaling botol minuman ke arah kaunter dan mencederakan anggota keselamatan yang bertugas semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek juga telah didakwa dan mengaku bersalah di Mahkamah Sepang pada 7 April lalu, ketika dihadapkan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tambah beliau, suspek turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100.
Sementara itu, Ravi menasihatkan orang ramai suoaya mematuhi arahan pihak keselamatan yang bertugas dan tidak mengambil tindakan yang boleh menyebabkan berlaku kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di kedua-dua terminal KLIA.
Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki warga asing membuat kecoh serta merosakkan papan tanda di kaunter T2 KLIA, selain bertindak agresif terhadap anggota keselamatan.
Video berdurasi kira-kira seminit itu memaparkan seorang lelaki warga asing menolak beberapa anggota keselamatan hingga menyebabkan salah seorang daripada mereka terjatuh. MalaysiaGazette
















