KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mendesak kerajaan memberi kenyataan sahih berhubung isu 329,000 tong diesel dari Malaysia tiba di Filipina.
Ini kerana menurut beliau, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengatakan diesel yang dihantar ke Filipina bukan berasal dari Malaysia namun ia bertentangan dengan kenyataan rasmi Jabatan Tenaga Filipina semalam mengesahkan kerajaan negara itu menerima penghantaran 52.311 juta liter diesel dari Malaysia.
Malah tambah beliau, semakan hantaran di Facebook menggunakan nama Sharon S. Garin yang merupakan Menteri Tenaga Filipina turut mendakwa bahan api tersebut dibeli dari Malaysia.
“Saya mohon Kerajaan segera merungkaikan perkara ini. Sekiranya kenyataan kerajaan Filipina itu tidak tepat, kerajaan Malaysia perlu minta perkara tersebut dibetulkan!
“Dalam keadaan seluruh dunia cuba mendapatkan bekalan diesel, 52.311 juta liter itu amat bermakna untuk mana-mana negara sekalipun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN
Pagi ini, kerajaan mengesahkan 329,000 tong diesel yang tiba di Filipina seperti yang dilaporkan bukan berasal dari Malaysia.
Justeru, MTEN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan digesa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.
Petronas turut mengeluarkan kenyataan senada yang menafikan sebarang penglibatannya dalam pembekalan diesel ke negara itu. -MalaysiaGazette
















