KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan malam tadi kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol selepas ujian pernafasan terhadap mereka mendapati bacaan melebihi had yang ditetapkan.
Mereka yang merupakan warga tempatan itu ditahan menerusi Op Mabuk yang dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman bersama JSPT Selangor.
JPST PDRM dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook berkata, operasi itu dijalankan bermula pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi tadi, di Jalan Lebuh Puteri, Bandar Puteri, Puchong.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak lima saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, JSPT PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan semua pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette

















