Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. - Foto: JAKIM.

KUALA LUMPUR – Wanita tidak wajar ditempatkan di titik konflik yang hampir pasti berlakunya kekerasan manakala pengunduran mereka daripada zon merah merupakan pematuhan kepada syariat, bukan tanda kelemahan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, kehadiran wanita di zon merah bukan sekadar risiko individu, sebaliknya berpotensi mencetuskan implikasi strategik, eksploitasi propaganda musuh, tekanan diplomatik dan perubahan fokus misi daripada bantuan kepada operasi menyelamat.

Ujarnya, keberanian dalam Islam bukan tindakan nekad tanpa arah sebaliknya ia keberanian yang terikat dengan hikmah.

Menurut beliau, mundur dari zon bahaya untuk menyusun strategi adalah sebahagian daripada seni perjuangan. Ia bukan kekalahan, sebaliknya kecerdasan.

“Pendekatan syariat bukan menolak peranan wanita sebaliknya ia menyusun peranan agar lebih berkesan dan selamat.

“Hal ini menuntut satu manhaj tindakan yang jelas dan berdisiplin seperti pemisahan daripada zon pertembungan.

“Kejayaan misi kemanusiaan tidak diukur pada tahap risiko yang diambil, tetapi pada keberkesanan mencapai objektif dengan kerosakan minimum.

“Syariat memuliakan wanita sebagai agen perubahan, namun dalam masa yang sama melindungi mereka daripada risiko yang tidak seimbang,” ujar beliau.

Ahmad Fauwaz menyatakan demikian menerusi ruangan `Tinta Mufti’ yang menjelaskan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-929: Hukum Wanita Menyertai Misi Kemanusiaan The Global Sumud Flotila dan Penghantaran Bantuan Ke Palestin.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pertikaian mengenai penglibatan wanita dalam berjihad perlu diperjelas menerusi pandangan pihak berautoriti termasuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Aktivis Global Sumud Flotila (GSF) hadir pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Israel ketika di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2025. (GAMBAR FAIL)

Ahmad Fauwaz selanjutnya menjelaskan, isu musafir wanita dalam misi kemanusiaan wajib ditimbang dengan disiplin fiqh yang tegas.

Ujarnya, keharusan perjalanan bersama kumpulan yang dipercayai diiktiraf dalam kerangka syariat tertakluk kepada satu syarat asas yang tidak boleh dikompromi iaitu kewujudan jaminan keselamatan yang nyata dan menyeluruh sepanjang perjalanan.

Namun demikian, menurut beliau, realiti misi flotila menunjukkan bahawa pelayaran tersebut secara langsung menyasarkan pemecahan sekatan tentera laut Israel.

Ujarnya, ia bukan sekadar bantuan logistik biasa sebaliknya merupakan konfrontasi terbuka dengan kekuatan ketenteraan.

“Sejarah seperti insiden Mavi Marmara membuktikan bahawa risiko keganasan adalah tinggi dan berulang,” ujarnya.

Pada pendapat beliau, perjuangan Palestin menuntut strategi jangka panjang yang memerlukan disiplin, bukan sekadar semangat.

Katanya, wanita memainkan peranan besar dalam ekosistem perjuangan seperti di medan yang tepat dengan pendekatan yang tepat dan dalam kerangka syariat yang tepat.

Beliau selanjutnya menjelaskan, peranan wanita di pangkalan operasi adalah kritikal manakala bidang perubatan, logistik, advokasi media dan diplomasi awam merupakan medan strategik yang menentukan kejayaan misi.

Katanya, sejarah membuktikan bahawa sokongan belakang tabir sering menjadi faktor penentu kemenangan.

Bagaimanapun, jelas beliau, keselamatan peserta bukan isu sampingan malah merupakan indikator utama kejayaan.

“Mengheret orang awam ke dalam konfrontasi bersenjata tanpa keupayaan pertahanan ialah keputusan yang bercanggah dengan prinsip hikmah dan tadbir urus Islami,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, semangat aktivis tidak boleh dipadam sebaliknya ia perlu dipandu.

Katanya, keinginan mereka untuk terlibat lahir daripada iman dan empati yang tulen. Namun, syariat tidak mengiktiraf tindakan yang didorong emosi tanpa pertimbangan ilmu.

“Di sinilah Maqasid Syariah berfungsi sebagai kerangka penentu. Syariat meletakkan pemeliharaan nyawa (Hifz al-Nafs) dan kehormatan (Hifz al-‘Ird) sebagai objektif teras yang tidak boleh dikompromi.

“Sebarang tindakan yang mendedahkan kedua-duanya kepada risiko tinggi perlu ditolak, walaupun atas nama maslahat umum,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Berjihad lah dlm negara sendiri..berapa ramai lagi rakyat sendiri yg memerlukan bantuan .jgn lah bergantung dgn badan badan kebajikan sedia ada..jgn kata pepatah kera di hutan di SUSUI anak di rumah mati kelaparan

Comments are closed.