Prof Dr Haim Hilman Abdullah. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Madani didakwa seakan-akan hilang arah dalam mendepani krisis geopolitik global apabila terus gagal mengemukakan pelan pemulihan konkrit susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berpotensi melonjakkan harga minyak dunia.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tampil segera dengan pelan menyeluruh bagi melindungi ekonomi negara daripada kesan gelombang ketidaktentuan global.

Menurutnya, setakat ini kerajaan dilihat tidak menunjukkan hala tuju yang jelas, sedangkan rakyat semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Adakah perbelanjaan kerajaan telah dipotong secara signifikan? Adakah elaun, kemewahan, dan pembaziran dalam kalangan kepimpinan tertinggi negara telah dikurangkan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haim Hilman yang juga ADUN Jitra turut mempersoalkan ke mana perginya penjimatan berbilion ringgit hasil rasionalisasi subsidi minyak sekiranya rakyat masih berdepan tekanan harga yang berterusan.

“Mengapa kerajaan tidak mengembalikan sebahagian daripada penjimatan tersebut untuk menstabilkan harga minyak ketika rakyat sedang terhimpit? Penjimatan tanpa pengagihan semula kepada rakyat adalah satu kegagalan dasar,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh peningkatan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan mencadangkan hasil tambahan itu disalurkan kepada subsidi bersasar minyak, namun kesal apabila kuota subsidi individu layak dilaporkan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter.

“Jika hasil cukai hanya menguatkan angka dalam laporan kewangan tanpa memberi kesan langsung kepada rakyat, maka dasar percukaian itu hilang nilai kemanusiaannya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada Malaysia mempunyai simpanan strategik petroleum mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan penggunaan serta membidas kerajaan kerana didakwa lebih bersifat retorik dan reaktif berbanding strategik serta proaktif dalam mengurus krisis negara.

“Tiga tahun kerajaan Madani memerintah—mana pelan pengurusan krisis negara?
“Kerajaan Madani telah mentadbir lebih tiga tahun, tempoh ini sepatutnya cukup untuk membina pelan mitigasi krisis ekonomi, menyediakan simpanan strategik makanan dan tenaga serta memperkukuh daya tahan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya lagi. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast