KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman susulan kejadian seorang pelajar perempuan, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang maut selepas dilanggar sebuah kereta di dalam kawasan sekolah di Kelantan hari ini.
KPM dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, siasatan itu bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.
Dalam masa sama, katanya, kejadian itu kini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“Semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM diingatkan untuk memastikan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi terpelihara,” katanya.
Tambahnya, KPM juga sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa dengan aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi perhatian.
“Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang terlibat kemalangan di sebuah sekolah di Kelantan pada Ahad.
“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari tadi, Nur Fatimatul Hawa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas maut selepas dilanggar sebuah kereta.
Nur Fatimatul Hawa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi yang turut dirempuh, cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian berkenaan membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dan mangsa membabitkan dua pelajar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta terbabit dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas sehingga terlanggar dua pelajar yang ketika itu sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau serta melanggar tiang batu. – MalaysiaGazette
















