KUALA LUMPUR – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di Mahkamah Majistret Setiu, Terengganu atas pertuduhan membuat laporan polis palsu terhadap usahawan hartanah, Datuk Azlan Al Amin, berhubung dakwaan penipuan urusan hartanah.
Tertuduh, Shahruldi Mahafiz Ramli yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap dan bergari, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mengikut pertuduhan, Shahruldi didakwa memberikan maklumat bertulis yang diketahuinya palsu kepada seorang pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu pada 2021, dengan niat supaya penjawat awam menggunakan kuasanya hingga boleh mendatangkan kegusaran kepada individu lain.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Kes berkenaan dipercayai bermula pada 2021 apabila Shahruldi membuat laporan polis mendakwa Azlan terlibat dalam penipuan urusan hartanah milik bapanya.
Bagaimanapun, pada Disember 2025, Azlan tampil membuat laporan balas dan memohon siasatan semula dijalankan terhadap laporan asal itu yang didakwa berunsur fitnah serta berniat jahat.
Terdahulu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahruldi selepas gagal menghadirkan diri ke prosiding sebelum ini walaupun telah diarahkan.
Susulan itu, dia ditahan di kediamannya di Puchong pada 11 April sebelum dibawa ke lokap IPD Setiu bagi tujuan pendakwaan hari ini. – MalaysiaGazette
















