KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang ditahan selepas menceroboh sebuah rumah di Kampung Melayu Subang, baru-baru ini, disyaki tidak waras.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, wanita itu kini dirawat di wad psikiatri sebuah hospital di Selangor.
Jelasnya, hasil siasatan suspek gagal memberi keterangan yang jelas selepas dibawa ke IPD Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.
“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. Dia gagal memberi keterangan yang jelas,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, beliau mengesahkan menerima laporan daripada pengadu di Balai Polis Kampung Baru Subang, kira-kira jam 10.41 malam.
Kejadian tersebut turut tular di aplikasi Threads.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi bagi menghormati keluarga suspek. -MalaysiaGazette
















