MELAKA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka menyokong cadangan untuk membawa usul bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor demi mengutamakan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat susulan krisis geopolitik Asia Barat.
Ketua AMK Melaka, Hakimin Mokhtar berkata, cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan itu dilihat sebagai langkah bertanggungjawab mengambil kira keadaan semasa negara.
Menurutnya, ia adalah satu langkah yang sangat berpijak di bumi nyata, malah AMK Melaka melihat cadangan itu bukan sebagai pelarian politik.
“Tetapi ia tetapi sebagai satu manifestasi tanggungjawab moral kepimpinan yang mengutamakan kelangsungan hidup rakyat berbanding percaturan kuasa.
“Dalam mendepani gelora geopolitik dunia yang tidak menentu, fokus kita tidak seharusnya terbahagi, sebaliknya memperkukuh benteng ekonomi domestik demi kebajikan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berpandangan pelaksanaan PRN dalam waktu terdekat berpotensi mengganggu momentum pemulihan ekonomi negeri selain menjejaskan tumpuan pentadbiran kerajaan.
Rakyat Melaka, katanya, lebih memerlukan kestabilan harga barang dan jaminan peluang pekerjaan daripada melihat bendera parti memenuhi jalanan.
“Dengan menangguhkan PRN, kita memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan mandat sedia ada dengan lebih berkesan tanpa gangguan politik yang boleh memecahbelahkan tumpuan.
“Ini adalah masa untuk kita bekerja, bukan masa untuk berkempen,” tambahnya lagi.
Hakimin berkata, tindakan itu juga membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak tamak kuasa, sebaliknya meletakkan kepentingan perut rakyat jauh lebih tinggi daripada kepentingan peti undi.
“Kita mahu apabila pilihan raya diadakan kelak, ia berlangsung dalam suasana yang tenang dan sejahtera, di mana rakyat boleh memilih dengan fikiran yang lapang tanpa bebanan krisis ekonomi yang menghimpit,” katanya.
PRN Johor dilaksanakan pada Mac 2022 dan mandat kerajaan negeri itu dijangka tamat pada Mac 2027, manakala PRN Melaka sebelum ini pada November 2021 dan tamat mandatnya akhir tahun ini. – MalaysiaGazette
















