Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Tiada keperluan mendesak menyegerakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat kerana keadaan tidak stabil dan ekonomi tidak menentu akibat krisis di Asia Barat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Faezuddin Puad berkata, semua pihak perlu prihatin dengan perkembangan keadaan semasa yang mencetuskan situasi ketidaktentuan politik.

“Tatkala dunia masih bergelut dengan ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan tenaga, kita seharusnya peka, prihatin dan sensitif terhadap keadaan semasa yang sedang ditanggung rakyat.

“Selain itu turut dibimbangi rakyat mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi kerana terbeban dengan kos pergerakan yang semakin tinggi lalu mandat yang lahir berisiko tidak benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebimbangan itu berasas kerana PRN Johor pasa 2022 diadakan ketika negara berdepan dengan gelombang Covid-19 dan hanya merekodkan 54.92 peratus rakyat yang keluar mengundi.

Justeru katanya, AMK Johor menyarankan supaya menangguhkan dahulu PRN Johor sehingga keadaan benar-benar stabil dan tenang.

“Buat masa sekarang kepentingan rakyat perlu didahulukan berbanding percaturan politik,” katanya yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai.

Sebelum ini timbul desas-desas mendakwa PRN Johor akan diadakan dalam tahun ini walaupun tempoh mandatnya akan habis pada Mac tahun depan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast