Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

KUALA KUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Pengurusan menzahirkan komitmen tinggi dalam memperkukuh keselamatan negara dengan penganjuran PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026

Platform berprestij itu direka untuk mengangkat wacana keselamatan ke tahap yang lebih dinamik, inklusif, dan berimpak tinggi bagi mendepani landskap ancaman moden yang semakin kompleks. 

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid berkata, program dengan kerjasama rakan strategik Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd itu adalah manifestasi kesungguhan PDRM dalam memperkukuh perkongsian strategik antara agensi, industri dan pemegang taruh keselamatan.

“Sejak diperkenalkan, siri dialog PSD telah berkembang daripada sebuah platform berskala kecil kepada inisiatif nasional berprofil tinggi yang menghimpunkan pelbagai kepakaran serta perspektif strategik.

“Transformasi ini dizahirkan melalui penstrukturan semula kepada format tahunan berskala besar selama dua hari, sekali gus memperluas ruang diskusi serta memperkasa penglibatan menyeluruh semua jabatan dalam PDRM serta rakan kolaboratif nasional dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Dialog Khas V digarap dengan objektif strategik yang jelas, antaranya memposisikan PSD sebagai platform premier keselamatan negara, memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi, kerajan dan industri.

Selain itu, ujarnya, mengarusperdanakan perkongsian ilmu, kepakaran serta teknologi terkini dan memacu inovasi dalam sistem keselamatan berteraskan pendekatan bersepadu.

“Terdapat empat jabatan teras PDRM akan menerajui sesi persidangan dan forum, iaitu Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

“Perbincangan akan merangkumi spektrum isu keselamatan kontemporari termasuk jenayah siber, penipuan kewangan, pengedaran dadah, ancaman keselamatan baharu, pengurusan ketenteraman awam serta integrasi teknologi dalam kepolisan moden,” jelasnya.

Dialog Khas V dijangka mencatat penyertaan berskala besar dengan penglibatan 200 pempamer dari 10 negara, 3,000 pengunjung perdagangan dan kerajaan, 200 tetamu kehormat serta lebih 100 penceramah dalam 30 sesi utama.

Abdul Aziz berkata, penganjuran itu bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya manifestiasi komitmen nasional dalam memastikan keselamatan negara terus dipelihara melalui pendekatan kolaboratif, inovatif dan berteraskan kecemerlangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast