Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media berhubung Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 APRIL 2026

PUTRAJAYA – Kerajaan melancarkan pakej diskaun besar-besaran pengangkutan awam rel bagi mengurangkan beban kos perjalanan rakyat susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis Asia Barat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada pengangkutan awam sekali gus mengekang peningkatan kos sara hidup.

“Kita sedia maklum bahawa krisis Asia Barat yang melanda ini telah mengakibatkan kenaikan kos bahan api yang ketara dan perkara ini turut memberi kesan kepada kenaikan kos sara hidup rakyat terutama daripada segi kos pengangkutan.

“Inisiatif bagi menggalakkan lebih banyak rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel berikutan kenaikan kos bahan api,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Antara langkah utama ialah diskaun 30 peratus bagi tiket tren elektrik (ETS) semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral bagi perjalanan Isnin hingga Khamis.

Tiket boleh dibeli menggunakan kod promosi mulai 15 hingga 30 April bagi tempoh perjalanan sehingga 14 Oktober depan.

“Inisiatif ini ditawarkan bagi perjalanan pada setiap hari Isnin hingga Khamis sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pengangkutan dan KTMB untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, dua pas bulanan ERL diperkenalkan iaitu MyPutrajaya Monthly Travel Card dan MyKLIA Monthly Travel Card yang menawarkan perjalanan tanpa had dengan diskaun sehingga 90 peratus berbanding kadar biasa.

Kerajaan turut meneruskan Pas My50 pada harga RM50, potongan 67 peratus daripada nilai sebenar RM150 untuk penggunaan tanpa had rel dan bas selama 30 hari di Lembah Klang.

Setakat ini, 40 peratus pengguna pengangkutan awam telah memanfaatkan pas tersebut.

Dalam sektor udara, kerajaan melaksanakan langkah intervensi bagi mengurangkan tekanan kewangan industri penerbangan susulan pembatalan mendadak penerbangan antarabangsa, khususnya ke Timur Tengah yang mencapai tahap kritikal apabila kira-kira 75 peratus jadual harian dibatalkan pada 1 Mac lalu.

“Sekiranya situasi ini berlarutan, ianya boleh mengurangkan keyakinan pelancong luar dan mengakibatkan jumlah kerugian economic output di antara RM15 bilion sehingga mencecah RM150 bilion sepanjang tahun 2026,” katanya,

Anthony turut memaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melanjutkan tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari serta memberi rebat tiket RM50 bagi laluan Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan yang dijangka memanfaatkan 100,000 penumpang bermula 15 Mei hingga 14 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast