KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menggempur sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 dengan rampasan melebihi RM22,000 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini, Isnin lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, operasi pukul 12.05 tengah hari itu dijalankan hasil risikan sebelum sepasukan anggota penguat kuasa menyerbu lokasi bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati dua kenderaan di pam nombor 6 dan 8 disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan dengan menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter dengan anggaran 800 liter diesel bagi setiap kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sindiket menggunakan modus operandi mengisi diesel melalui tangki asal sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan hos serta pam elektrik yang diubah suai untuk tujuan pengumpulan dan pengedaran secara haram.
Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan rampasan melibatkan dua kenderaan, peralatan serta diesel bernilai keseluruhan RM22,745. – MalaysiaGazette
















