Seorang lelaki bujang diberkas berkhalwat dengan janda hingga melahirkan anak luar nikah di sebuah rumah kampung di Kluang.

KLUANG – Kehidupan seorang lelaki bujang dengan seorang janda yang tinggal seperti suami isteri sehingga melahirkan anak luar nikah terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan di sebuah rumah kampung di sini baru-baru ini.

JAINJ dalam satu memaklumkan, pasangan berkenaan dikatakan sudah lama tinggal bersama-sama tetapi kurang bercampur dengan penduduk setempat, tambahan pula rumah tersebut terpencil.

“Mereka juga tidak bergaul dengan jiran-jiran dan orang kampung seperti orang lain. Mereka hanyut dibuai lautan nafsu tanpa rasa bersalah. Mereka fikir keseronokan dan hiburan dunia tanpa batas sempadan.

“Hasil kerja sumbang mereka tidak dapat ditutup tetapi dihidu oleh masyarakat seterusnya membuat aduan kepada pihak JAINJ sebelum serbuan dilakukan pukul 11.30 malam,” ujar kenyataan itu.

Menurut JAINJ, semasa serbuan, penguat kuasa mendapati kawasan rumah pasangan berkenaan jauh dari rumah orang lain serta bahagian luar dan dalam kediaman tersebut gelap.

Penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam serta memanggil dengan kuat penghuninya sebelum lima minit kemudian seorang lelaki yang memakai seluar pendek dan tidak berbaju muncul.

Pemeriksaan penguat kuasa di bahagian dalam rumah menemukan seorang wanita berseluar panjang dan t-shirt sedang duduk atas tilam sambil mendukung seorang bayi berumur tiga bulan.

Siasatan ke atas mereka mengakui hanya bersekedudukan dan bukan suami isteri.

“Lelaki ini berumur 20-an, masih bujang dan bekerja di Kluang. Wanita pula berumur 20-an dan berstatus janda. Bayi itu pula adalah anak tidak sah taraf yang memiliki surat beranak mempunyai nama ibu tanpa bapa,” jelas JAINJ.

Lelaki juga mengaku bertanggungjawab menyebabkan wanita itu mengandung selepas kerap berkunjung ke rumah berkenaan sejak tahun lalu.

JAINJ menjelaskan, wanita berstatus janda itu memaklumkan sudah bercerai dengan suami terdahulu dan mempunyai anak yang dijaga oleh keluarganya.

“Apabila ditanya adakah mereka ingin bernikah, mereka kata ada hasrat tetapi ada beberapa perkara peribadi yang perlu diselesaikan dulu,” jelas jabatan itu lagi.

Tambah JAINJ, pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast