NSIP terletak secara strategik berhampiran hab logistik utama iaitu KLIA, KLIA2, Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

KUALA LUMPUR – NCT Smart Industrial Park telah diiktiraf secara rasmi sebagai Taman Perindustrian Pintar Berurus (IR4.0) pertama pada 2025 yang menonjolkan peranannya sebagai perintis dalam menyepadukan teknologi canggih bagi inovasi perindustrian.

Merangkumi kawasan seluas 732 ekar di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), NCT Smart Industrial Park (NSIP) merupakan Taman Perindustrian Berurus (MIP) pertama di Malaysia yang menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan perindustrian pintar dan mampan.

Terletak secara strategik berhampiran hab logistik utama iaitu KLIA, KLIA2, Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), NSIP menawarkan ketersambungan lancar melalui udara, laut dan darat.

Pengarah Eksekutif NCT Smart Industrial Park, Yap Chun Theng berkata, sejak dilancarkan pada tahun 2023 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10 bilion, taman itu dibangunkan merentasi lima fasa, bermula dengan 270 unit kilang berkembar, berkembar setengah, kluster dan teres di samping lot tanah perindustrian.

“NCT Smart Industrial Park telah membuktikan dirinya sebagai peneraju dalam sektor perindustrian dengan melaksanakan teknologi Industri 4.0 untuk meningkatkan kecekapan, ketersambungan dan kemampanan.

“Pembangunan ini menampilkan infrastruktur bertaraf dunia, termasuk jalan raya selebar 220 kaki, kuarters pekerja berpusat (CLQ) berkuasa AI, sistem digital twin berasaskan awan, serta penyelesaian ESG termaju seperti bumbung sedia solar dan sistem tebatan banjir.

“Fasa 2 dan 3 akan memperluaskan tawaran perindustrian, manakala Fasa 4 dan 5 akan memperkenalkan komponen komersial seperti stesen minyak dan lot kedai, sekaligus memperkukuh visi taman ini sebagai ekosistem bersepadu sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chun Theng menambah, kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian signifikan buat NCT Smart Industrial Park sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju
dalam pembangunan industri pintar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast