Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan jumlah berat sitaan adalah sebanyak 187,800 kilogram dengan anggaran nilai RM1,062,048.00 di Pelabuhan Klang Utara. Foto AIZAT ZAINAL, 14 APRIL 2026.

PELABUHAN KLANG – Sebanyak tujuh kontena mengandungi daging ayam dan itik sejuk beku yang bernilai lebih RM1 juta berjaya dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang pada 9 April lalu.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan fizikal terhadap kontena terbabit di Tapak Pemeriksaan Kontena CT2, Pelabuhan Klang Utara.

Katanya operasi itu dijalankan susulan maklumat awam yang diterima pihaknya sebelum kontena itu tiba di pelabuhan sekitar Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati daripada tujuh kontena itu dengan enam kontena mengandungi ayam sejuk beku manakala satu kontena adalah itik sejuk beku.

“Semakan mendapati, berat keseluruhan kontena yang disita adalah sebanyak 187,800 kilogram (kg) dengan anggaran nilai dagangan berjumlah RM1,062,084,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang Utara di sini hari ini.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan jumlah berat sitaan adalah sebanyak 187,800 kilogram dengan anggaran nilai RM1,062,048.00 di Pelabuhan Klang Utara. Foto AIZAT ZAINAL, 14 APRIL 2026.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat cubaan pemalsuan dokumen bagi melindungi kemasukan dagangan tersebut ke dalam negara.

“Semakan dokumen disyaki palsu antaranya ketidakpadanan  invois dan senarai pembungkusan yang tidak selaras dengan maklumat dalam notis ketibaan (Notice of Arrival) selain nombor siri yang tidak sepadan.

“Selain itu, sijil halal yang dikemukakan juga diragui ketulenannya walaupun menyerupai sijil dikeluarkan pihak berkuasa, manakala sijil kesihatan turut disyaki tidak sah,” jelasnya.

Tambah Nik Ezanee, kesemua kontena yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut serta tindakan pelupusan mengikut peruntukan undang-undang.

“Hasil maklumat kita terima mendapati kesemua kontena ini sepatutnya datang dari satu negara iaitu China namun semakan semula dokumen dikesan ia datang daripada pelbagai negara.

“Keadaan itu menimbulkan risiko kepada keselamatan makanan dan kesihatan awam, termasuk kemungkinan membawa penyakit haiwan seperti avian influenza dan Newcastle Disease,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee memaklumkan, semalam pihaknya telah menahan sebuah kontena mengandungi daging babi sejuk beku dari Australia dengan berat 25,000 kg yang bernilai RM204,000 kerana tidak mempunyai permit MAQIS yang sah.

“Kita tidak menolak kemungkinan penglibatan sindiket tempatan dalam kegiatan pemalsuan dokumen import dan kita telah mengenal pasti beberapa ejen yang dipercayai terlibat dan pemantauan serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kita menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara seperti ini diminta salurkan kepada AKPS dan kami akan mengambil tindakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast