KUALA LUMPUR – Seramai 1,500 pelajar menerima peruntukan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada kesinambungan kecemerlangan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemberian biasiswa itu akan memanfaatkan calon terbaik dalam kalangan terbaik, khususnya pelajar MRSM yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang serta sahsiah terpuji.
Menurutnya, kejayaan MRSM mendominasi lima kedudukan teratas sekolah berasrama penuh di seluruh negara membuktikan keberkesanan ekosistem pendidikan MARA.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan menjadi hadiah istimewa sempena ulang tahun ke-60 MARA.
“Ia juga membuka lebih banyak ruang kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian melalui biasiswa yang disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, prestasi keseluruhan MRSM bagi SPM 2025 mencatat Gred Purata Maktab (GPM) 2.067, dengan 19 MRSM berjaya mencapai GPM bawah 2.00.
Lebih membanggakan, seramai 80 pelajar memperoleh keputusan semua A dalam semua subjek, meningkat berbanding 69 pelajar pada tahun sebelumnya, sekali gus memperluas kelompok calon berpotensi tinggi untuk ditawarkan biasiswa.
Sebagai galakan berterusan, MARA turut memperuntukkan insentif berjumlah RM180,000 kepada MRSM yang mencatat prestasi terbaik, meliputi anugerah GPM terbaik dan lonjakan prestasi.
Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 MRSM yang berlangsung di Hotel Premiera, Medan MARA itu menghimpunkan kira-kira 450 jemputan terdiri daripada pengurusan tertinggi, pengetua serta warga pendidik. – MalaysiaGazette
















