KUALA LUMPUR – Kajian mengenai pelaksanaan mekanisme Diyat perlu melihat kepada model negara yang mempunyai persamaan struktur perundangan bagi memudahkan integrasi dalam sistem sedia ada.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Muhamad Hisham Marzuki berkata, Pakistan merupakan rujukan terbaik berbanding negara lain berdasarkan latar belakang sejarah perundangan yang serupa.
“Terdapat keperluan untuk mengkaji pelaksanaan di Pakistan kerana faktor sistem kehakiman dan sejarah penjajahan yang hampir sama dengan Malaysia.
“Menerusi kajian yang dibuat untuk negara-negara yang melaksanakan Diyat, hanya dua negara sahaja yang mengamalkan konsep ini.
“Satu negara Arab Saudi dan yang kedua adalah Pakistan,” katanya menerusi program SKOP MG dengan tajuk Diyat: Mekanisme Keadilan Mangsa Kecuaian Melampau.
Muhamad Hisham berkata, Pakistan lebih dekat dengan Malaysia jika mahu lihat pelaksanaannya.
“Ini kerana kita daripada negara-negara Komanwel dan Pakistan salah satu daripadanya.
“Persamaan dari sudut penggunaan Kanun Keseksaan memudahkan kajian dibuat terhadap praktikaliti sistem tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, Malaysia boleh mengkaji dan juga melihat bagaimana pelaksanaannya di sana memandangkan istem perundangan Pakistan juga mempunyai Kanun Keseksaan.
“Pakistan pernah dijajah oleh British, sama juga negara kita dan kita sama-sama menggunakan undang-undang British,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai sistem dualisme di Malaysia, Muhamad Hisham berkata, dari sudut praktikaliti tuntutan pampasan setakat hari ini masih tertumpu di bawah bidang kuasa mahkamah sivil.
“Sama ada mahkamah syariah atau mahkamah sivil mahu memberikan pampasan kerana praktikalnya sekarang ini jika mangsa ingin meneruskan tindakan mereka perlu meneruskan ke mahkamah sivil.
“Tak ada lagi mangsa yang meneruskan tindakan untuk menuntut apa-apa monetary claims di mahkamah syariah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau melihat pindaan yang jelas terhadap punca kuasa sedia ada adalah perlu bagi memastikan hasrat untuk menyampaikan pampasan kepada mangsa dapat dicapai dalam konteks masyarakat di negara ini. – MalaysiaGazette
















