KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar Batu 4, Jalan Apas, di Tawau, Sabah semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, individu berkenaan dicekup kira-kira jam 12.20 tengah hari oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak gelisah sebaik anggota polis memperkenalkan diri.
“Hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 12.58 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Dalam kejadian sama, seorang lagi lelaki berusia 26 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah, namun pemeriksaan fizikal tidak menemukan sebarang bahan terlarang.
Menurutnya, suspek kedua dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau untuk ujian air kencing, namun didapati negatif sebelum dibebaskan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti dadah dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya. – MalaysiaGazette
















