Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas dakwaan menyalahgunakan kuasa serta pembaziran sumber dan dana awam susulan tindakan menyiasatnya dan merampas telefon bimbit miliknya tanpa asas kukuh.

Menerusi hantaran di Facebook, Isham Jalil berkata, tindakan tersebut berkait dengan satu hantaran yang dibuat pada 11 April lalu yang kemudiannya diarahkan untuk disekat oleh MCMC kepada platform Facebook pada 12 April 2026.

Hantaran itu memetik laporan media Filipina yang mendakwa Jabatan Tenaga negara berkenaan menerima 329,000 tong (52 juta liter) diesel dari Malaysia, selain menggesa orang ramai menyemak kesahihan berita tersebut.

Beliau menegaskan, laporan polis yang bakal dibuat turut menggesa pihak berkuasa termasuk MCMC menyiasat sebuah portal dikenali sebagai ‘Anwar Ibrahim Fans’ yang didakwa telah menyebarkan maklumat berkaitan eksport diesel Malaysia lebih awal iaitu pada 8 April 2026.

Dakwanya, hantaran portal tersebut menyebut mengenai penghantaran diesel Malaysia ke Bangladesh dan Filipina namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap penyebaran maklumat berkenaan setakat ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan ketelusan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap dirinya berbanding pihak lain selain menyifatkan situasi tersebut sebagai tidak adil.

Tambahnya, selain laporan polis, tindakan undang-undang lain termasuk tindakan sivil juga akan diambil dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MCMC rakam keterangan individu disyaki sebar berita palsu berkait dakwaan pembekalan diesel ke Filipina 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast