JOHOR BAHRU – Kelewatan kerajaan menurunkan harga diesel mengikut pasaran global hanya akan menyebabkan harga barang terus melambung.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kegagalan tersebut menunjukkan kerajaan tidak sensitif terhadap perkembangan pasaran semasa.
“Tindakan ini juga berisiko melemahkan usaha menstabilkan harga barang secara menyeluruh di peringkat nasional.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu segera bertindak dengan lebih berani, telus dan responsif dalam memastikan harga diesel mencerminkan keadaan pasaran semasa.
“Ini demi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi yang lebih adil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah menurunkan harga diesel selaras dengan perkembangan harga di peringkat global yang kini berada dalam fasa lebih stabil selepas tempoh lonjakan awal sebelum ini.
Dalam keadaan ini katanya, rakyat tidak sepatutnya terus menanggung beban harga yang tidak bergerak seiring dengan perkembangan pasaran semasa.
Berdasarkan pemerhatian pasaran antarabangsa katanya, harga rujukan minyak dan produk petroleum menunjukkan pola turun naik dalam julat yang lebih terkawal.
Jelasnya, ini berbanding tempoh sebelumnya sekali gus mewujudkan ruang jelas untuk pelarasan harga runcit yang lebih munasabah di peringkat domestik.
Namun begitu katanya, sehingga kini tiada pelarasan bermakna terhadap harga diesel domestik walaupun keadaan pasaran global telah menunjukkan tanda-tanda penstabilan.
Kelewatan itu menimbulkan persoalan serius sama ada mekanisme penetapan harga yang digunakan benar-benar mencerminkan realiti semasa atau lebih bersifat rigid sehingga tidak responsif kepada perubahan pasaran, katanya.
“Lebih membimbangkan, ketidaksepadanan ini berlaku dalam keadaan sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana terus menanggung tekanan kos operasi yang tinggi.
“Diesel bukan sekadar komoditi tenaga, tetapi komponen utama yang mempengaruhi harga rantaian bekalan dan akhirnya ditanggung oleh pengguna akhir,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu.
Sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan produk petroleum di rantau ini, beliau berkata, Malaysia tidak boleh terus beroperasi dengan pendekatan harga yang kelihatan tidak selari dengan dinamika pasaran global.
Dr Sahruddin berpendapat, kelewatan menyesuaikan harga domestik dalam keadaan pasaran stabil hanya akan mengekalkan tekanan kos yang tidak perlu ke atas ekonomi rakyat.- MalaysiaGazette
















