KUALA LUMPUR – Persatuan Korea di Malaysia terus komited menyokong pembangunan belia menerusi penajaan program latihan maritim untuk Pengakap Laut di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).
Pesuruhjaya Antarabangsa PPM, Norma Noordin berkata, sumbangan berjumlah RM12,500 itu membolehkan lapan Pengakap Laut daripada Kumpulan-30 Pengakap Laut (Terbuka) Daerah Segambut, Kuala Lumpur dan Kumpulan-07 Pengakap Laut (Terbuka) Daerah Fort, Melaka menyertai Kursus Competent Crew yang diadakan di PD World Marina, dengan penyertaan tambahan dijangka pada Mei.

Beliau berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Ray Nautics Resources itu menawarkan latihan praktikal berstruktur berasaskan piawaian pelayaran yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, merangkumi kemahiran penting seperti pengendalian layar, navigasi, prosedur berlabuh dan pengurusan kecemasan.
“Program ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan teknikal, malah memupuk disiplin, semangat kerja berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan peserta,” katanya.
Norma berkata, inisiatif tersebut mencerminkan peranan penting kerjasama komuniti antarabangsa dalam menyokong pembangunan belia serta usaha pembinaan negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa program yang pada awalnya dirancang untuk lima peserta telah diperluas hasil kerjasama berkesan, selain mengaplikasikan pendekatan bimbingan rakan sebaya bagi memastikan kelestarian program.
Peserta, Aviynesh Kumar, menyifatkan program itu sebagai peluang berharga yang memperkukuh kepimpinan serta kemahiran praktikal pelayaran.

“Sebagai Pengakap Laut dan Ketua Kumpulan SEAL30 yang sedang berusaha ke arah Penganugerahan Pengakap Raja, pengalaman ini meningkatkan kepimpinan, kemahiran praktikal dan keupayaan saya sebagai kru yang kompeten. Saya kini lebih bersedia untuk membimbing serta memberi inspirasi kepada ahli kumpulan dalam aktiviti pelayaran,” katanya.
Sementara itu, Mirsha Kumar berkata program berkenaan merupakan satu pengalaman transformasi yang mengukuhkan sahsiah diri serta keupayaan pelayarannya.

“Sebagai Pengakap Laut dan Pengakap Kelana di bawah Sea Fox, pelayaran mengajar saya tentang ketahanan, kerja berpasukan dan kepercayaan, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada kru.
“Setiap sesi mencabar saya untuk keluar daripada zon selesa, menyesuaikan diri dengan keadaan laut yang berubah-ubah serta memikul tanggungjawab lebih besar. Inisiatif ini membuka peluang kepada golongan muda untuk memperoleh pengalaman dunia sebenar,” katanya.
Seorang lagi peserta, Pengakap Kelana Sea Fox, Zoe Ng Yun Rou berkata, latihan itu memberikan pendedahan praktikal yang bernilai serta pengalaman pembelajaran bermakna.
“Saya memperoleh pengetahuan praktikal daripada memahami bahagian bot dan menguasai simpulan asas seperti bowline, selain kemahiran pengendalian layar, navigasi asas serta kerjasama berkesan di atas bot.

Antara pengalaman paling mencabar ialah ketika sesi pertama apabila kami berdepan masalah enjin dan hujan lebat. Situasi itu mengajar saya tentang kepentingan ketahanan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam menghadapi cabaran tidak dijangka,” katanya. – MalaysiaGazette
















