GEORGE TOWN – Tindakan seorang ibu kepada enam anak menyerahkan kad bank kepada ahlong membawa padah apabila akaunnya disalah guna untuk aktiviti tidak sah sehingga dia ditahan polis dan didakwa sebagai keldai akaun di mahkamah baru-baru ini.
Wanita itu berkata, kejadian bermula pada Disember tahun lalu apabila dia membuat pinjaman RM1,000 daripada ahlong untuk menambah modal perniagaan burger di Taman Pelangi Semenyih 2, Selangor.
“Bagaimanapun, saya hanya menerima RM500 kerana mereka mendakwa baki dipotong sebagai kos dokumen. Saya juga diminta membayar RM100 setiap bulan selama 10 bulan serta menyerahkan kad bank kepada mereka.
“Ketika itu saya terdesak dan tidak berfikir panjang sebelum menyerahkan kad berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pada Januari lalu, dia mengalami masalah kesihatan termasuk ketumbuhan payudara dan kerap berulang-alik ke Hospital Kajang, menyebabkan urusan pembayaran terabai.
Katanya, pada 7 April lalu dia menerima panggilan daripada polis berhubung kad bank miliknya sebelum menyedari kad tersebut telah diserahkan kepada ahlong selain bayaran pinjaman tidak dibuat.
“Saya kemudian menghubungi ahlong terbabit dan dimaklumkan kad bank saya telah dijual kepada pihak lain kerana saya gagal membuat bayaran pinjaman.
“Susulan itu, polis dari Kulai, Johor datang ke rumah saya dan saya dibawa serta direman sebelum didakwa sebagai keldai akaun.
“Mahkamah mengenakan denda RM500 atas kesalahan tersebut dan saya berdepan hukuman penjara jika gagal membayarnya, namun nasib baik suami meminjam daripada rakan dan ahli keluarga untuk menjelaskan denda itu,” katanya.
Wanita itu turut berharap orang ramai menjadikan pengalamannya sebagai pengajaran dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan kad bank kepada pihak lain.
“Saya sendiri tak sangka perkara ini boleh jadi sampai saya ditahan dan didakwa di mahkamah.
“Saya harap orang ramai terutama yang terdesak, jangan ulang kesilapan saya dengan beri kad bank kepada sesiapa kerana risikonya sangat besar dan boleh menjerat diri sendiri dalam jenayah tanpa sedar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrasegar berkata, orang ramai perlu lebih berwaspada dengan taktik sindiket yang menyasarkan individu terdesak kewangan termasuk menggunakan kaedah pinjaman tidak sah bagi mendapatkan akses kepada akaun bank.
“Penyerahan kad bank atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan untuk aktiviti jenayah seperti penipuan dalam talian.
“Orang ramai perlu faham bahawa walaupun tidak terlibat secara langsung, pemilik akaun tetap berdepan tindakan undang-undang jika akaun mereka digunakan untuk transaksi mencurigakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















