KUALA LUMPUR – Seorang Inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota trafik yang sedang mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Menurut pertuduhan, pegawai polis yang masih bujang itu didakwa cuba membunuh Konstabel Roslan Salleh, 27, dengan cara melanggarnya dengan kereta Perodua Axia.
Muhammad Kamal didakwa bertindak demikian pada pukul 10.47 malam, 10 April lalu di tempat kejadian dengan mengetahui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian mangsa.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka pesalah boleh dikenakan pemenjaraan sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam G. Nanda Goban agar tertuduh menjalani pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak sebelum pengakuannya direkodkan.
Permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 14 Mei ini. Jaminan tidak dibenarkan.
Terdahulu, Nanda Goban yang hadir bersama-sama Tan Loo Pei memaklumkan anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membuat pengakuan terhadap pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, Mazuliana menjelaskan, mahkamah perlu memastikan tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Jurubahasa: Kamu faham pertuduhan yang dibacakan tadi?
Tertuduh: Faham. Saya sakit sihir. Saya tak ingat.
Pada peringkat itu, Banusha memohon tarikh sebutan lain sementara menunggu laporan perubatan serta memohon tertuduh dilarang jamin.
Mahkamah diberitahu, mangsa merupakan seorang anggota polis sedang bertugas ketika dilanggar tertuduh.
Sementara itu, Nanda Goban memaklumkan, keluarga anak guamnya memohon tertuduh tidak diikat jamin.
Menurut peguam, bapa tertuduh telah membuat laporan supaya polis membawa anaknya ke hospital, namun lelaki itu melarikan diri selepas polis tiba untuk mengambilnya.
“Tertuduh menderita penyakit skizofrenia dan mendapat cuti sakit daripada hospital kerajaan sehingga Februari tahun ini.
“Sebelum tarikh itu, tertuduh masih okay, namun selepas itu dia tidak mengambil ubat sehingga peristiwa didakwa berlaku,” ujarnya.
Sehubungan itu, peguam memohon tertuduh dihantar ke institusi kesihatan mental bagi membolehkan doktor mengeluarkan sijil yang mengesahkan anak guamnya layak untuk mengemukakan pengakuan terhadap pertuduhan.
Sementara itu di hadapan Majistret Tg. Syazwany Yasmyn Tuan Roslan, Muhammad Kamal turut didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan melulu dan membahayakan.
Tuduhan pertama, pegawai polis itu didakwa memandu kenderaan sama secara melulu dan berbahaya terhadap seorang lelaki di Jalan Loke Yew, di sini pukul 4.10 petang pada 13 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda boleh sampai RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan pertama dibacakan terhadapnya.
Nanda Goban kemudian memaklumkan perkara serupa berhubung status mental anak guamnya dan memohon lelaki itu menjalani pemerhatian pskiatri.
“Mahkamah benarkan permohonan ini. Arahan sama terpakai bagi enam lagi pertuduhan dan tiada jaminan diberikan. Sebutan ditetapkan pada 9 Jun ini,” ujar Tg. Syazwany Yasmyn. – MalaysiaGazette
















