KUALA LUMPUR – Sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan di sini, mengalami kerugian RM9.7 juta selepas disamun sekumpulan lelaki bersenjata pistol, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, berkata, dalam kejadian pukul 11 pagi tadi itu, empat lelaki telah memasuki premis berkenaan sebelum mengacukan dua pucuk pistol.
“Suspek kemudiannya melarikan 21 dulang emas dengan anggaran berat kira-kira 15 kilogram. Turut dilaporkan hilang dalam kejadian itu ialah selaras senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan premis terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis sedang mengesan keempat-empat suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian berhubung dengan pihak polis dengan segera.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya lagi.
Kejadian rompakan itu turut tular di media sosial hari ini menerusi video rakaman kamera litar tertutup berdurasi kira-kira tiga minit yang memaparkan sekumpulan penjenayah bersenjata pistol dan bertopi keledar menyamun sebuah kedai emas.-MalaysiaGazette
















