Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua dari kiri) di sesi taklimat dan penerangan projek perintis Biodiesel B100 oleh Felda dan FGV di FGV Biotechnologies Sdn Bhd Jalan Pelabuhan 2, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kerajaan disaran mempertimbangkan pengurangan atau mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggalakkan penghasilan dan penggunaan bahan api biodiesel ketika ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia salah satu langkah proaktif dan tuntas dalam mendepani ketidaktentuan bekalan bahan api akibat krisis global.

“Kita faham bahawa dasar kerajaan mesti ada perincian signifikan yang pelbagai. Dan kita boleh cadangkan kalau mudahnya, mungkin perlu ada geran atau sumbangan untuk membina loji (penghasilan biodiesel).

“Tapi, yang lebih mudah adalah aspek percukaian. Sekarang, biodiesel kita keluarkan mesti ada SST, tapi kalau dalam keadaan krisis ketika ini, saya rasakan kerajaan mesti pertimbang untuk buang atau perkecilkan (SST). Mesti difikirkan,” katanya.

 

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (empat dari kiri) di sesi taklimat dan penerangan projek perintis Biodiesel B100 oleh Felda dan FGV di FGV Biotechnologies Sdn Bhd
Jalan Pelabuhan 2, Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat dan penerangan projek perintis Biodiesel B100 oleh Felda dan FGV Sdn Bhd (FGV) di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ini, hanya terdapat 18 kilang di seluruh negara yang memproses minyak sawit dengan penghasilan biodiesel dianggarkan kira-kira 180,000 tan setahun.

Ahmad Shabery berkata, pengeluaran sawit negara ketika ini lebih daripada mencukupi dan tidak akan menjejaskan penghasilan berskala besar biodiesel sawit untuk kegunaan domestik.

“Mengikut perkiraan kita, untuk tukar semua diesel kepada biodiesel, tak lebih daripada enam juta tan sawit diperlukan. Boleh dibuat, tapi ia mengambil masa,” jelasnya.

Namun, bagi jangka masa panjang, katanya, ia dilihat alternatif yang berkesan kerana Malaysia tidak lagi perlu bergantung kepada harga bahan api dunia, sekali gus dapat mengurangkan kos bahan api kepada pelbagai sektor ekonomi dalam negara.

Selain itu, katanya, peningkatan penggunaan biodiesel akan memberi manfaat khusus kepada pengeluar sawit dan para peneroka Felda.

Sampel biodiesel B100 keluaran Felda dan FGV.

Mengulas mengenai pelaksanaan Biodiesel B100 yang diperkenalkan Felda dengan kerjasama FGV sejak dua tahun lepas, beliau menjelaskan, ia masih di peringkat dasar dan akan mula digunakan dalam ekosistem Felda terlebih dahulu.

“Kita akan memulakan penggunaan B100 di tempat yang berhampiran dengan kilang di Kuantan ini, mungkin membabitkan Felda Wilayah Kuantan, Jengka, Mempaga dan seterusnya dalam bulan ini juga.

“Ada yang menggunakan jengkaut dan kenderaan terlibat dalam aktiviti perladangan yang menggunakan diesel, kita akan laksanakan biodiesel atas sebab B100 adalah lebih murah daripada diesel biasa,” katanya.

Sampel biodiesel B100 keluaran Felda dan FGV.

Sekiranya Felda berjaya melaksanakan penggunaan biodiesel B100 secara meluas, Ahmad Shabery berkata, ia mampu melonjakkan nama Malaysia dalam mendepani krisis tenaga dunia yang berlaku ketika ini.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan disaran untuk mempertimbang menambah kapasiti kilang memproses biobahan api di seluruh negara.

Sebagai rekod, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada dasarnya bersetuju bahawa biodiesel merupakan salah satu sumber biobahan api alternatif paling praktikal dan sedia dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast