KUALA LUMPUR – Tersilap tekan pedal minyak dipercayai menjadi punca dua pelanggan cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan di sebuah restoran di Jalan Papar Lama, Up Town Nambazan, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, kejadian kira-kira pukul 5.27 petang itu turut tular di media sosial pada hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila sebuah kenderaan dipandu wanita tempatan mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan di belakangnya.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai tersalah menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan naik ke kaki lima premis makanan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua pelanggan iaitu seorang lelaki dan wanita yang berada di lokasi hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette
















