Datuk Aedy Fadly (kanan) menunjukkan nombor pendaftaran istimewa siri ‘P-P’ sempena sambutan ulang tahun ke-80 JPJ di The Top, Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka tawaran nombor pendaftaran istimewa siri ‘P-P’ sempena sambutan ulang tahun ke-80, dengan bidaan secara dalam talian bermula Isnin ini hingga 24 April ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengenalan siri khas itu bukan sahaja sebagai simbolik kepada lapan dekad perkhidmatan jabatan berkenaan, malah mencerminkan evolusi JPJ dalam aspek pengurusan dan penguatkuasaan jalan raya negara.

Menurutnya, orang ramai boleh menyertai bidaan melalui sistem JPJeBid yang dilaksanakan bagi memastikan proses lebih telus dan teratur, selain memudahkan penyertaan secara digital.

Keputusan bidaan pula akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas penutupan iaitu pada 25 April depan.

“Tempoh bidaan dibuka selama lima hari dan semua penyertaan akan diproses melalui sistem sedia ada mengikut kategori harga yang telah ditetapkan.

“Nombor yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.

“Pemilihan siri ‘P-P’ itu turut mempunyai signifikan tersendiri, antaranya merujuk kepada Pulau Pinang bersempena penganjuran Karnival Mega JPJ Madani di negeri berkenaan, selain membawa maksud simbolik terhadap fungsi JPJ dalam pengangkutan dan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita di Komtar di sini, hari ini.

Tambah Aedy Fadly, pihaknya memberi jaminan bahawa isu gangguan sistem JPJeBid yang pernah dibangkitkan sebelum ini telah ditambah baik dan berada dalam keadaan lebih stabil.

“Setakat ini tiada lagi aduan besar diterima berkaitan masalah “lagging” semasa proses bidaan berlangsung,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly berkata, bersempena ulang tahun ke-80, JPJ turut menganjurkan Karnival Mega JPJ Madani yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April di Stadium Batu Kawan dekat sini.

“Pada acara itu, kira-kira 50,000 nombor pendaftaran akan ditawarkan dengan diskaun 50 peratus pada 26 April, termasuk nombor kategori menarik yang dijual serendah RM250.

“Nombor yang ditawarkan adalah baki daripada siri terdahulu yang tidak dibida dan hanya boleh dibeli secara fizikal di lokasi karnival berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast