Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

JOHOR BAHRU – Selepas teruk dihentam pelbagai pihak berkenaan penamatan aplikasi MBJB Spot yang ditukar kepada sistem Parkmax@Johor bermula 1 Mei ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini tampil memberi penjelasan.

MBJB dalam satu kenyataan memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut terutama berkenaan baki kredit (e-kupon) pengguna aplikasi MBJBSpot yang menimbulkan persoalan pengguna.

MBJB memberi jaminan bahawa baki kredit (e-kupon) pengguna aplikasi MBJBSpot tidak akan terjejas susulan peralihan sistem tempat letak kereta yang baharu itu.

“MBJB ingin memaklumkan baki kredit (e-kupon) pengguna dalam aplikasi MBJBSpot yang digunakan sebelum ini adalah terjamin dan tidak akan terjejas.

“Pihak MBJB akan memastikan pengurusan peralihan baki kredit ini dilaksanakan secara adil, teratur dan memihak kepada kepentingan pengguna,” ujar MBJB dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, pihak MBJB ‘dihentam’ warganet dan parti pembangkang setelah menasihatkan pengguna MBJBSpot untuk untuk menghabiskan baki kredit dalam aplikasi tersebut sebelum 1 Mei ini.

MBJB bertindak menutup ruang komen di hantaran kenyataan tersebut dalam Facebook rasmi MBJB setelah ramai pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan tersebut.

Ini susulan penggunaan aplikasi MBJBSpot akan ditamatkan berkuat kuasa pada 30 April ini.

“Selepas tarikh tersebut, semua urusan pembayaran parkir hendaklah dibuat melalui sistem Parkmax@Johor sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Aplikasi Parkmax@Johor boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play Store di lautan https://play.google.com/store/apps/details?id=my.com.southmax.parkmax dan di Apple App Store di pautan https://apps.apple.com/my/app/parkmax-johor/id6474522003.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya dilaporkan meminta pihak terbabit tidak membebankan pengguna selain mencadangkan lima langkah strategik susulan penamatan aplikasi tersebut.

Sementara Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman pula mempersoalkan pelantikan pihak swasta menguruskan sistem parkir itu sedangkan kemudahan dan sistem sedia sudah dibangunkan kerajaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast