SHAH ALAM — Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan kerajaan negeri dilihat sebagai langkah awal dalam menangani tekanan kos sara hidup ketika ketidaktentuan ekonomi global terus memberi kesan kepada rakyat.
Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin Mohamed berkata, pakej berkenaan mencerminkan keutamaan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, selain menunjukkan kesiapsiagaan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam berdepan cabaran ekonomi semasa.
Menurutnya, inisiatif yang diperkenalkan bukan sahaja memberi kelegaan jangka pendek malah berpotensi menyokong kestabilan ekonomi negeri sekiranya dilaksanakan secara menyeluruh.
“Namun, keberkesanan pakej ini bergantung kepada pelaksanaan di peringkat akar umbi serta keupayaan agensi terlibat memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar tanpa ketirisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pakej berkenaan merangkumi beberapa inisiatif bersasar termasuk bantuan kos sara hidup dan program intervensi harga seperti Jualan Ehsan Rahmah, yang disifatkan mampu membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Zainol berkata, program berkenaan wajar diperluaskan dengan meningkatkan kekerapan pelaksanaannya, khususnya di kawasan berpenduduk padat bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
Langkah itu dilihat penting ketika sebahagian rakyat masih bergelut dengan peningkatan harga barangan keperluan harian dan kos pengangkutan.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat serta memperkukuh perpaduan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang usaha yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat tidak diberi ruang, sebaliknya ditolak secara bersama.
Pada masa sama, beliau menyifatkan ketidaktentuan global termasuk konflik antarabangsa, sebagai antara faktor yang terus memberi tekanan kepada ekonomi domestik.
Sehubungan itu, beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan secara konsisten agar manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasar di seluruh negeri. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Selangor Peruntuk RM130.42 Juta Bagi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Fasa 1
















